Selamat datang ke laman rasmi USNO Kawasan DUN N53 Sekong

USNO LAHIR AGAR RAKYAT TIDAK DIBANGSATKAN BILA MERDEKA

Nukilan : PAMIN

5/17/20251 min read

USNO bukan bayang silam,

Ia lahir dari luka dan tangisan,

Dari keringat rumpun pesisir yang ditindas zaman,

Agar anak cucu tak dibangsatkan oleh kemiskinan,

Oleh minda yang diikat, oleh lalai yang diwariskan.

Tun Mustapha, bukan sekadar nama,

Tapi pelita dalam gelap kuasa,

Beliau ajarkan erti keberanian,

Bukan tunduk pada telunjuk tangan ghaib,

Yang rakus menjamah tanah dan hasil negeri pada zamannya.

Kemerdekaan bukan hadiah di dulang emas,

Ia titisan air mata para pejuang yang redha terhapus,

Nyawa, masa, tenaga, dan harta diserah,

Digadaikan demi satu nama yang bergelar daulat.

Jangan kita khianat dengan membiarkan minda terus dijajah,

Hingga kita rela disusun, dicorak oleh tangan di sana.

Ingat! Kerana lantang dan berani,

Tun Mustapha diseret ke gelanggang fitnah,

dihina dan dikoyak maruah dengan pelbagai cerita,

Agar kuasa jatuh ke tangan yang haus tanpa belas,

Cukuplah sejarah itu jangan diulang,

Matlamat tak pernah halalkan cara yang tempang.

Enam dekad telah berlayar,

Pilihan raya datang menyapa lagi,

Bebaskan akal dari belenggu lama,

Jangan wariskan pemikiran hamba kepada anak bangsa.

Bersatulah! biar tirai besi jadi jambatan,

Biar luka lalu jadi kekuatan.

Tiga dekad kita pinjamkan kuasa,

Tapi air masih tak mengalir,

Api masih malap, jalan masih berbatu,

Pedalaman masih merintih dalam sunyi,

Mereka tidak minta istana,

Cuma mahu rasa makna merdeka.

Ayuh, cukuplah berbicara di podium megah,

Rakyat perlukan bela yang berasa, bukan hanya kata.

Masanya telah tiba,

Untuk kita cipta sejarah, bukan ulang cerita,

Sabah mesti gemilang semula,

Untuk anak cucu yang mewarisi merdeka.

Wahai pemimpin, duduklah semeja,

Kita buka lembaran sejarah, bukan selak propaganda,

Budaya pecah dan perintah mesti dimatikan,

Yang taksub, kembalilah ke pangkal perjuangan,

Kerana bila kita berpecah, ada yang tertawa di puncak kuasa.

Lima jelajah jadi tanda,

Rakyat bukan alat, bukan boneka,

Mereka mahu perubahan, bukan eksperimen semata.

Ayuh kita ganding tangan, tuntut hak MA63 yang terlupa,

Agar hasil negeri jadi milik semua,

Itulah kebijaksanaan Tun Mustapha dan para arwah,

Yang kini menunggu pewaris sebenar bangsa memaknai erti merdeka.