Selamat datang ke laman rasmi USNO Kawasan DUN N53 Sekong
KENYATAAN RASMI PRESIDEN USNO SEMPENA HARI SABAH | 31 OGOS 2025
Kenyataan Rasmi Presiden USNO
Warta USNO - FB Page
8/31/20252 min read


Assalamualaikum WBT Salam Sejahtera, Salam Sabah Maju Jaya, dan Selamat Hari Sabah
Pada tarikh yang penuh makna ini, saya dengan rasa syukur mengucapkan Selamat Hari Sabah kepada seluruh pimpinan, ahli-ahli USNO, dan rakyat Sabah yang dikasihi.
Hari Sabah bukan sekadar tarikh dalam kalendar atau acara sambutan tahunan. Ia adalah ingatan sejarah yang menuntut kita untuk sedar siapa diri kita, dari mana kita datang, dan ke mana kita harus pergi. Pada 31 Ogos 1963, Sabah berdiri sebagai negeri yang berdaulat, yakin dengan kekuatan sendiri. Lalu, kita memilih untuk bersama membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 – satu keputusan strategik yang membuka peluang pembangunan tetapi juga menguji kebijaksanaan kita dalam mempertahankan hak dan keistimewaan negeri ini.
Hari ini, setelah enam dekad bersama Malaysia, kita harus terus berani berfikir agar hak Sabah dihormati sepenuhnya seperti yang termaktub dalam MA63. Kita harus menghayati tarikh ini sebagai titik kesedaran bahawa negeri ini adalah amanah yang besar untuk kita semua jaga, rawat, dan bangunkan.
Sebuah negeri yang kaya hasil bumi dan budaya tidak sepatutnya hanya kaya dalam potensi, tetapi juga makmur untuk rakyatnya. Keadilan dan kesaksamaan, harus dipelihara. Kebajikan dan keupayaan rakyat harus dipertingkatkan. Begitu juga dengan perpaduan dan keharmonian sebagai aset negeri yang selalu kita banggakan.
Sinergi dalam Persekutuan Malaysia juga adalah satu kekuatan yang besar. Sabah tidak akan maju jika terasing, Malaysia pula tidak lengkap tanpa Sabah. Kita perlu membina hubungan yang berasaskan saling hormat, bukan belas ihsan; kepercayaan, bukan penguasaan.
Sabah mesti terus mandiri dalam fikirannya, berani dalam suaranya, dan matang dalam tindakannya. Potensi besar yang ada pada negeri ini hanya akan terserlah jika kita berani menuntut yang hak, tetapi tetap bijak menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan kita di Semenanjung dan Sarawak. Di sinilah kehebatan Sabah – berprinsip tetapi tidak berkonflik, tegas tetapi tidak angkuh.
Perpaduan rakyat Sabah adalah aset terbesar kita. Lebih 30 etnik hidup bersama dengan harmoni di bumi ini – satu realiti yang membuktikan bahawa Sabah adalah contoh Malaysia yang sebenar. Semangat ini mesti diperkukuh agar suara kita didengar bukan kerana kita menjerit, tetapi kerana kita bersatu dan berprinsip.
Hari Sabah adalah detik untuk kita mengingat sejarah, memperbaharui semangat, dan menuntut masa depan yang adil. Marilah kita jadikan Sabah negeri yang dihormati, maju, dan terus menjadi kebanggaan Malaysia.
Selamat Hari Sabah!
Untukmu Sabah, Tanah Airku.
TAN SRI PANDIKAR AMIN HAJI MULIA
Presiden USNO
Timbalan Pengerusi GRS